Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di
negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini
sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak
terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran
aktiviti yang tidak sihat ini.
Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan
pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan
tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan
kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah
dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif
kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu
menghargai kemudahan awam yang disediakan.
Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan
kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan
kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama
kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak
menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah
dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.
Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak
berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan
jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam
yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini
membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh
digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.
Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan
vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh
membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun
kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk
menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.